LELAKI tiada istilah putus haid sebab lelaki tiada haid bulanan tetapi lelaki ada istilah PADAM (Partial Androgen Deficiency of Aging Males).
Bermula umur 40 tahun ke atas lelaki akan mengalami kemerosotan hormon jantan (testosteron) mereka 0.4 hingga 1.6 peratus setiap tahun. Testosteron adalah satu dari hormon jantan yang utama dalam kategori Androgen.
Apabila hormon testosterone ini makin mengurang maka tanda-tanda berikut boleh berlaku seperti:
- Merasa diri lemah dan letih.
- Kurang nafsu seks.
- Murung.
- Kurang bermotivasi.
- Terganggu kesihatan mental seperti sentiasa rimas dan gugup.
- Terlalu sensitif dan mudah terasa hati.
- Susah untuk tidur.
- Terlalu cepat letih semasa bekerja dan bersukan.
- Kurang tumpuan / konsentrasi semasa berfikir.
- Senang lupa.
- Tidak dominan dalam keluarga atau komuniti.
Kajian di Sweden mendapati bahawa 85 peratus lelaki yang berumur 55 tahun ke atas mengalami tanda-tanda PADAM ini.
Vitamin atau produk yang mengaku untuk menguatkan tenaga batin tidak boleh meningkatkan hormon testosteron ini.
Jika terdapat jurujual yang mendakwa boleh meningkatkan testosterone, ia adalah kelentong semata-mata. Malah produk-produk yang tidak disahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) itu tidak mempunyai profil ciri-ciri keselamatan pun. Lebih banyak mendatangkan mudarat pun ada.
Kebanyakan produk itu mencampurkan bahan-bahan terlarang seperti Sildenafil (Viagra) yang melebihi dos ditetapkan.
Sildenafil bukan ubat untuk meningkatkan testosteron tetapi dia hanya boleh mengembangkan segala salur darah termasuk salur darah otak dan jantung serta alat kelamin.
Sebab itu kesan sampingan yang paling biasa berlaku ke atas sesiapa yang makan Sildenafil yang melebihi dos adalah serangan stroke dan sakit jantung sebaik sahaja makan ubat terlarang itu. Ada yang mati di atas katil pun dilaporkan.
Empat kaedah secara semulajadi bagaimana hormon testosterone ini boleh ditingkatkan. Dengan kata lain bahawa anda tidak padam.
Pertama: Jaga kualiti tidur dan tidur secukupnya. Elakkan gangguan sebelum tidur seperti menonton TV atau melihat telefon; tidur ikut waktu yang tetap setiap hari; elakkan minuman berkafein (kopi); suasana bilik tidur adalah gelap dan aroma bilik tidur adalah harum.
Kedua: Kurangkan berat badan. Kajian mendapati setiap gram berat badan dikurangkan akan meningkatkan hormon testosteron secara selanjar.
Ketiga: Amalkan bersukan secara tetap paling minimum tiga kali seminggu, durasi senaman melebihi 30 minit. Hormon jantan akan keluar sebaik sahaja senaman dilakukan.
Keempat: Amalkan pemakanan sihat, jangan telan dadah berbahaya, minum arak dan jangan merokok. Amalan pemakanan sihat secara semulajadi yang mengandungi zat magnesium dan zink boleh membantu meningkatkan hormon testosteron. Suplemen tidak membantu meningkatkan testosteron, malah mempunyai kesan sampingan yang tidak diingini.
Bahkan kajian mendapati penyerapan suplemen magnesium hanya 12 peratus (kajian atas tikus), empat peratus (kajian atas manusia). Selebihnya zat itu dikeluarkan melalui najis. Oleh itu pemakanan sihat seharian sudah memadai.
Dr Suhazeli Abdullah