LUAR NEGARA

Pentadbiran AS dedahkan 230,000 halaman dokumen berkenaan pembunuhan Martin Luther King Jr

WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam mendedahkan lebih 230,000 halaman dokumen berkaitan pembunuhan pemimpin hak asasi manusia, Martin Luther King Jr. pada tahun 1968.

Pengarah Perisikan Negara, Tulsi Gabbard dalam satu kenyataan semalam berkata, pendedahan itu sebagai sesuatu yang “belum pernah berlaku sebelum ini” dan merujuk kepada komitmen presiden terhadap “ketelusan sepenuhnya”.

Trump sebelum ini telah menandatangani satu perintah eksekutif selepas memegang jawatan, bagi menyahklasifikasikan dokumen yang berkaitan dengan pembunuhan Martin Luther King; bekas Presiden, John F. Kennedy dan bekas senator, Robert F. Kennedy.

Rekod-rekod berkaitan Martin Luther King dilindungi dibawah perintah mahkamah sejak 1977, apabila FBI mengumpulkannya dan menyerahkannya kepada Pentadbiran Arkib dan Rekod Negara (NARA).

Mac lalu, NARA telah mendedahkan dokumen berkaitan pembunuhan John F. Kennedy pada November 1963, diikuti fail berkaitan pembunuhan Robert F. Kennedy pada Jun 1968, pada bulan April.

Seorang pejuang hak asasi manusia, Martin Luther King dibunuh pada April 1968 di Memphis, Tennessee.

Dia ditembak dari jarak dekat oleh James Earl Ray yang kemudiannya berjaya ditahan. Ray kemudiannya disabitkan dengan jenayah tersebut dan meninggal dunia di penjara pada tahun 1998.

Namun, anak-anak King telah lama menyuarakan keraguan mereka terhadap kesahihan sabitan itu.

Keluarganya, termasuk dua orang anaknya yang masih hidup iaitu Martin Luther King III, 67, dan Bernice King, 62, telah dimaklumkan lebih awal mengenai pendedahan tersebut dan mempunyai pasukan mereka sendiri untuk menyemak dokumen berkenaan sebelum ia didedahkan kepada umum.

Anak-anak King dalam satu kenyataan semalam turut berkata, pembunuhan bapa mereka sebagai satu “perkara yang terus membangkitkan rasa ingin tahu awam selama beberapa dekad”.

Namun mereka menegaskan bahawa isu itu bersifat sangat peribadi dan menyeru supaya “fail-fail ini dilihat dalam konteks sejarah yang menyeluruh”.

Mereka turut menyatakan bahawa sepanjang hayatnya, Martin Luther King menjadi sasaran kepada satu “kempen disinformasi dan pengawasan yang menceroboh, bersifat pemangsa dan amat mengganggu” yang dirancang oleh Pengarah FBI ketika itu, J. Edgar Hoover.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button