
Kes Zara Qairina: Proses bedah siasat turut dibantu pakar forensik Hospital Sultan Idris Shah
KOTA KINABALU – Proses bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini hari ini turut dibantu seorang pakar patologi forensik dari Selangor.
Peguam keluarga, Hamid Ismail berkata, pakar perunding berkenaan, Dr Khairul Anuar Zainun dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang ditugas mengendalikan proses itu bersama Pakar Patologi HQE, Dr Jessie Hiu dengan dibantu dua lagi pakar.
Hamid menjelaskan, proses bedah siasat sebenarnya dimulakan kira-kira pukul 11 pagi tadi selepas selesai pengecaman jenazah oleh ibu arwah Zara Qairina.
“Sebelum itu, doktor juga memberi taklimat kepada keluarga Allahyarham mengenai proses bedah siasat dan prosedur dimulakan selepas ibu arwah membuat pengecaman jenazah,” katanya memaklumkan proses itu dijangka mengambil masa beberapa jam sebelum keputusannya diketahui.
Katanya, keluarga Allahyarham kemudian akan diberi penjelasan mengenai hasil bedah siasat yang dijalankan.
“Bedah siasat mungkin ambil masa empat hingga lima jam, kita tidak tahu. Kemudian, Dr Jessie akan memberitahu keluarga apa yang dijumpai dan selepas itu, jenazah akan dibawa balik ke Sipitang oleh pihak polis untuk dikebumikan semula,” katanya.
Hamid percaya khidmat pakar perunding patologi dari luar yang dipanggil membantu proses bedah siasat bagi memastikan keadilan untuk arwah Zara Qairina.
“Saya percaya pihak polis mahu memastikan semua elemen untuk keadilan kepada Zara, jadi dibawa seorang doktor pakar dari Semenanjung untuk mengelakkan apa-apa pertuduhan yang tidak baik,” katanya.
Hamid turut meminta orang ramai yang menunggu hasil bedah siasat supaya terus berdoa memohon agar keadilan untuk arwah dapat ditegakkan.
Terdahulu, jenazah pelajar berusia 13 tahun itu tiba di hospital pukul 10.30 malam tadi selepas digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang pada pukul 7.30 malam, semalam.
Jenazah itu kemudiannya dihantar ke Jabatan Radiologi untuk Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) sebelum ditempatkan di Jabatan Forensik Perubatan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |