
Kematian Zara Qairina: Jangan lindung buli
KUALA LUMPUR – Kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina, perlu disiasat secara menyeluruh demi memastikan keadilan ditegakkan, tegas Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Wira Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, pihaknya menyambut baik arahan Peguam Negara kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut termasuk menggali semula kubur bagi melengkapkan siasatan.
“Sekiranya terbukti berlaku perlakuan jenayah berpunca daripada buli di asrama, tindakan undang-undang perlu diambil tanpa mengira siapa demi keadilan semua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khairuddin turut menggesa Kementerian Pendidikan meneliti semula pelan dan prosedur menangani kes buli di sekolah berasrama penuh agar dikemas kini dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, buli merupakan realiti yang berlaku di sebahagian asrama melibatkan pelajar senior terhadap junior dengan pelbagai skala.
“Pendidikan sivik, moral dan akhlak wajar diberi penekanan khusus bagi mendidik pelajar tentang etika interaksi, khususnya dalam kehidupan berasrama,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menyediakan saluran aduan di Sektor Perancangan dan Pengurusan untuk ibu bapa membuat aduan berkaitan pengurusan pendidikan.
“Saluran ini perlu dimanfaatkan seawal tanda-tanda buli dilaporkan bagi mengelakkan kes disiplin bertukar menjadi jenayah sehingga meragut nyawa.
“Ibu bapa juga boleh membuat aduan terus kepada Jabatan jika terdapat kelemahan pentadbiran sekolah yang mungkin menutup kes buli demi menjaga nama baik sekolah,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |