
Pengerusi MARA ambil dua beradik yatim piatu sebagai anak angkat
GERIK – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan isterinya mengambil dua beradik yatim piatu dari Kampung Kerunai, di sini sebagai anak angkat bagi memastikan kebajikan serta pendidikan mereka terjamin.
Melalui satu hantaran video di Facebook, beliau memberitahu dua beradik tersebut, Nurain Fatihah, 18, dan adiknya, Nurain Farisya, 10, kehilangan ibu pada 2017 manakala bapa mereka pula meninggal dunia sebulan lalu.
“Pagi tadi, saya berkesempatan menziarahi adik Nurain Fatihah, anak kedua daripada lima beradik yang akan mendaftarkan diri di UiTM Arau dalam Diploma Teknologi Kimia Perindustrian.
“Membesar sebagai anak yatim piatu, kehilangan ibu sejak lapan tahun lalu dan ayahnya baru sahaja kembali ke rahmatullah sebulan yang lalu.
“Kini beliau bersama adik bongsu tinggal bersama datuk dan nenek di Kampung Kerunai,” tulis beliau menerusi kapsyen video tersebut.
Nurain Fatihah, pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik, bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Kimia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis September ini, manakala Farisya masih bersekolah di Tahun Empat.
Menurut Asyraf Wajdi, beliau tersentuh hati selepas mendengar kisah mereka ketika menziarahi keluarga itu pagi tadi, lalu menyerahkan sumbangan RM1,000 daripada Yayasan Pelajaran Mara untuk persiapan pendaftaran Nurain Fatihah di universiti.
“Langkah ini supaya kami dapat memantau prestasi pengajian dan membantu penghidupan mereka setiap bulan.
“Saya percaya hanya ilmu sahaja mampu mengubah dan menjamin masa depan mereka,” katanya.
Beliau turut memuji ketabahan kedua-dua beradik itu yang tetap tersenyum walaupun berdepan ujian besar, serta mendoakan mereka menjadi insan bermanfaat untuk agama dan bangsa.
Setakat ini, perkongsian video tersebut telah menerima lebih 53,000 tontonan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |