BERITA SEMASA

PEJUANG gesa KPM perbaiki pengurusan kes buli, jadikan insiden Zara Qairina pengajaran

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan pembaikan menyeluruh dalam pengurusan kes-kes buli susulan kematian tragis pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan kementerian mengurus krisis.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan PEJUANG, Noor Zarina Nordin berkata, kes itu seharusnya menjadi titik tolak kepada KPM untuk memperkukuh siasatan, memperketat prosedur keselamatan asrama dan memperkenalkan program pencegahan buli yang komprehensif.

Noor Zarina menegaskan krisis seperti itu memerlukan kepimpinan yang berani, berempati dan jelas hala tuju di samping pengurusan persepsi awam yang baik serta komunikasi yang telus.

Menurutnya siasatan awal terhadap kes Zara Qairina sepatutnya dilaksanakan secara telus dan segera, termasuk pelaksanaan bedah siasat tanpa berlengah.

Kelewatan sehingga memerlukan arahan eksumasi oleh Pejabat Peguam Negara, katanya, boleh menjejaskan integriti bukti forensik dan menimbulkan persoalan terhadap tahap keutamaan yang diberikan kepada keselamatan pelajar.

“Ketika keluarga mangsa dan rakyat menunggu kebenaran, tindakan KPM membuat laporan polis berhubung dakwaan penyebaran maklumat palsu mungkin difahami dari sudut undang-undang.

“Namun, ia juga boleh memberi gambaran seolah-olah fokus lebih terarah kepada menjaga imej berbanding usaha mencari kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, krisis seperti itu memerlukan kepimpinan yang berani, berempati dan jelas hala tuju di samping pengurusan persepsi awam yang baik serta komunikasi yang telus.

Pejuang turut menggesa penubuhan pasukan siasatan bebas bagi memastikan ketelusan serta memulihkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.

“Nyawa pelajar adalah amanah yang tidak boleh dikompromi. Kes Zara Qairina harus menjadi pengajaran bahawa keselamatan pelajar mesti sentiasa menjadi keutamaan, melebihi sebarang pertimbangan politik atau kedudukan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button