BERITA SEMASA

MOTAC keluarkan 13 notis kesalahan sepanjang dua minggu pertama Julai

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengeluarkan 13 notis atas pelbagai kesalahan sepanjang dua minggu pertama bulan ini.

MOTAC dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebanyak 22 operasi dilaksanakan oleh pegawai penguatkuasa di beberapa lokasi utama seluruh negara dalam tempoh tersebut.

“Pemeriksaan telah dibuat ke atas 180 kenderaan, 30 syarikat pelancongan, empat premis penginapan serta 33 pemandu pelancong.

“Ini termasuk pemeriksaan terhadap entiti yang disyaki menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen sah dalam satu operasi yang dijalankan di Perak hasil maklumat awam,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memberitahu, jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga sepuluh tahun atau kedua-duanya di bawah Akta 482.

“MOTAC komited memastikan hanya penggiat industri pelancongan yang berlesen secara sah beroperasi di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] demi kesejahteraan pelancong dan industri yang mampan dan inklusif berteraskan nilai-nilai MADANI.

“Kami ingin mengingatkan mana-mana individu atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan pelancongan meliputi pengangkutan, penginapan atau penganjuran pelancongan secara fizikal atau dalam talian supaya memohon lesen dengan segera di pejabat MOTAC negeri berdekatan sebelum tindakan perundangan yang tegas diambil,” katanya lagi.

Bagi memastikan undang-undang pelancongan sentiasa dipatuhi, MOTAC berkata pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pada amsa yang sama, MOTAC menyeru orang ramai dan pemain industri untuk menyalurkan sebarang maklumat tentang aktiviti pelancongan yang disyaki melanggar peraturan melalui saluran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button