
Mahasiswa perlu bina ketahanan diri hadapi pengaruh algoritma media sosial
KUALA TERENGGANU – Golongan mahasiswa diingatkan supaya membina ‘benteng’ terhadap pengaruh algoritma media sosial yang mampu membentuk persepsi dan tingkah laku tanpa disedari.
Pesanan itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam sesi dialog interaktif In Person With Doc Zam bersama kira-kira 2,000 pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seluruh Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), semalam.

“Jati diri yang kukuh perlu diperkasa melalui ilmu pengetahuan, etika dan kesedaran terhadap cabaran global termasuk isu penindasan rakyat Palestin di Gaza,” tegas beliau.
Program itu merupakan pembukaan siri Semarak Kampus MADANI (SKM) 2025 di Negeri Terengganu pada 9 hingga 10 Ogos 2025 yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai platform mendekati denyut nadi kehidupan pelajar di kampus.
Dalam perkongsiannya, Zambry mengimbau detik ‘liberating moment’ apabila beliau menggenggam segulung ijazah pada tahun 1987 iaitu satu simbol pembebasan daripada kekangan hidup.
Katanya, kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas secara fizikal, tetapi juga kebebasan minda dan jiwa melalui ilmu.
Pengalaman membesar dalam serba kekurangan telah memupuk ketabahan dan keazaman beliau untuk menuntut ilmu sehingga ke peringkat tertinggi.

Sesi soal jawab bersama pelajar turut mengupas pelbagai isu seperti kos sara hidup, peluang berkarya, relevansi universiti dalam era digital, kawalan maklumat di media sosial, peranan mahasiswa dalam pembentukan dasar politik negara serta nilai kemerdekaan dan tanggungjawab sosial.
Majlis itu juga menyaksikan pelancaran Program Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat IPT 2025 sebagai simbol penghayatan semangat kemerdekaan dalam kalangan warga pendidikan tinggi.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr Azlinda Azman; Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam; Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim; Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Ir Ts. Dr Arham Abdullah serta pengurusan tertinggi KPT.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |