
Lebih 450 ditahan dalam demonstrasi sokong Palestin terbesar di London
LONDON – Polis Metropolitan menahan lebih 450 orang di pusat bandar London semalam dalam demonstrasi menyokong kumpulan Palestine Action yang diwartakan sebagai pertubuhan pengganas pada bulan lalu.
Menurut kenyataan polis, seramai 466 individu ditahan kerana menunjukkan sokongan terhadap Palestine Action, manakala lapan lagi ditahan atas kesalahan lain termasuk lima serangan terhadap pegawai polis.
Jumlah keseluruhan 474 tangkapan itu adalah yang tertinggi dalam satu operasi bagi tempoh sekurang-kurangnya sedekad.
Polis Metropolitan turut menggerakkan pegawai dan anggota dari beberapa balai bagi memperkukuh kawalan keselamatan kerana menjangkakan jumlah tangkapan yang besar.
Pada sebelah petang, ratusan peserta berhimpun di Parliament Square dalam acara dianjurkan kumpulan Defend Our Juries.

Polis pula menganggarkan 500 hingga 600 orang berada di lokasi ketika perhimpunan bermula, namun ramai yang tidak mengambil bahagian.
Jurucakap Defend Our Juries berkata, kehadiran besar peserta yang sanggup berdepan risiko tangkapan menunjukkan rasa muak terhadap “penglibatan kerajaan dalam genosid yang disiarkan secara langsung” dan kesediaan rakyat mempertahankan kebebasan.
Mereka juga menyifatkan undang-undang yang digunakan untuk menahan peserta sebagai “memalukan” dan menyampaikan mesej itu kepada Menteri Dalam Negeri, Yvette Cooper.
Pada sebelah malam, Cooper mengucapkan terima kasih kepada pasukan polis dan mempertahankan keputusan kerajaan mengharamkan Palestine Action, sambil menegaskan keselamatan negara dan keselamatan awam sebagai keutamaan.
Perhimpunan yang bermula pukul 1 tengah hari semalam menyaksikan kumpulan peserta memegang plakard bertulis “Saya menentang genosid, Saya sokong Palestine Action” secara senyap selama sejam.
Walaupun suasana aman, tangkapan tetap dilakukan, termasuk ke atas seorang wanita yang sempat menjerit kepada polis supaya menangkap pihak yang terlibat dalam genosid di Parlimen.
Antara yang ditahan termasuk dua wanita berusia lewat 70-an yang sempat menyatakan kepada media bahawa tindakan merosakkan pesawat RAF oleh ahli Palestine Action adalah bentuk protes, bukan keganasan.
“Mereka yang membawa pesawat itu yang sebenarnya pengganas. Pesawat itu digunakan untuk mengebom dan membunuh kanak-kanak,” kata seorang daripada mereka.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |