
Kibar Jalur Gemilang terbalik: Hukuman penjara wajar dikenakan
PUTRAJAYA – Tindakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh maruah, kedaulatan dan perpaduan negara.
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Syahirah Abdul Shukor berkata, individu yang terlibat perlu dikenakan tindakan undang-undang bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Dari sudut perundangan, perbuatan tersebut boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan boleh menyebabkan gangguan awam, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Undang-undang tidak bermakna jika tiada tindakan terhadap mereka yang cuai, sama ada secara sengaja atau tidak. Hukuman penjara beberapa hari dan denda wajar dipertimbangkan mengikut niat serta tahap kecuaian pihak terlibat,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau menegaskan, hukuman setimpal penting sebagai pengajaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menghormati simbol negara dan memupuk semangat patriotisme, apatah lagi negara kini menyambut Bulan Kemerdekaan.

“Jika bukan rakyat sendiri yang menghormati dan menjunjung Jalur Gemilang, siapa lagi yang akan mempertahankannya,” katanya.
Terdahulu, insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson, baru-baru ini, mencetuskan kemarahan orang ramai.
Semalam. tular insiden yang sama di sebuah kedai perkakasan di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang memaparkan dua individu memasang bendera secara terbalik.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |