BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan salur RM1.1 juta bangunkan kampung, sekolah Angkat MADANI di Kampung Kiau

KOTA BELUD – Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.1 juta melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membangunkan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Kiau, di sini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, RM1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan tujuh projek infrastruktur kecil di kampung berkenaan, manakala RM100,000 disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau.

Menurut beliau, projek pembangunan Kampung Angkat MADANI merangkumi usaha menaik taraf jalan perumahan, jalan pertanian dan kemudahan awam di beberapa zon termasuk Kampung Kiau Nuluh, Kampung Kiau Taburi dan Kampung Kiau Bersatu.

“Antara projek yang dilaksanakan termasuk menaik taraf jalan padang, dewan, klinik dan balai raya di Kampung Kiau Nuluh, membina parit di Zon Tebobon dan Hongkung, membina jalan dan culvert ke kawasan perkuburan di Kampung Kiau Taburi serta pembinaan jalan komuniti dan sistem perparitan di Zon Tomoduh, Kampung Kiau Bersatu,” katanya melalui satu kenyataan KUSKOP.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Pembangunan Pelancongan Melalui Gerakan Koperasi dan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI serta Sekolah Angkat MADANI Kampung Kiau di Dewan Tamu Desa Kampung Kiau, semalam.

Bagi Sekolah Angkat MADANI, katanya, RM100,000 diperuntukkan kepada PIBG SK Kiau bagi memenuhi keperluan pembangunan sekolah tersebut.

“SK Kiau ialah sekolah angkat saya, tempat saya bersekolah dari Darjah 1 hingga Darjah 6. Saya berharap peruntukan ini dapat memenuhi sebahagian keperluan pembangunan kampung termasuk di SK Kiau,” katanya.

Ewon turut menyeru penduduk kampung supaya terus membangunkan sumber alam setempat khususnya dalam sektor pertanian, pelancongan dan koperasi bagi memperkukuh sosioekonomi komuniti.

Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Noor Afiffah Abdul Razak; ketua-ketua agensi KUSKOP dan pemimpin-pemimpin kampung.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button