
Agong harap lawatan ke Kazan kukuh hubungan Malaysia–Tatarstan
TATARSTAN – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar lawatan baginda ke Kazan dapat memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Republik Tatarstan.
Baginda bertitah, kepimpinan cemerlang Rais Tatarstan, Rustam Minnikhanov dalam Kumpulan Visi Strategik “Rusia–Dunia Islam” membuktikan komitmen kukuh beliau dalam memajukan ummah Islam.
Ketika bertemu Minnikhanov di Istana Presiden Kremlin Kazan semalam, Sultan Ibrahim percaya terdapat potensi besar untuk Malaysia memperluas kerjasama ekonomi dalam bidang petrokimia, inovasi, kewangan Islam dan industri halal pada masa depan.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi, baginda menzahirkan kegembiraan terhadap peningkatan kerjasama ekonomi, institusi dan budaya antara rakyat Malaysia dan Tatarstan, selain peluasan kerjasama akademik melibatkan universiti di kedua-dua negara.
“Universiti-universiti Malaysia dan Russia termasuk beberapa institut di Kazan telah membangunkan hubungan kukuh termasuk penyelidikan bersama dalam bidang baharu seperti kejuruteraan, tenaga dan sains komputer.
“Saya memuji kerjasama berterusan antara Kazan Federal University dan Kazan National Research Technological University dengan Universiti Teknologi Malaysia,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut menyatakan prospek untuk mengembalikan penerbangan terus antara Russia dan Malaysia yang diyakini mampu membuka peluang pelancongan, perniagaan serta meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat.
“Saya berharap lebih ramai pelajar dan pelancong dari Tatarstan memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka,” titah baginda.
Baginda juga menzahirkan kegembiraan memperbaharui hubungan erat dengan Minnikhanov di tapak bersejarah Kazan Kremlin.
“Rakh-mat (terima kasih) atas kebaikan dan kehangatan anda, ia akan terus dikenang,” titah Sultan Ibrahim.
Terdahulu, Minnikhanov menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Kazan Kremlin sebelum mengadakan sesi bergambar dengan latar pemandangan Sungai Volga, diikuti jamuan di Dewan Bankuet istana tersebut.
Sultan Ibrahim kini dalam rangka lawatan negara ke Russia atas jemputan Presiden Vladimir Putin.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |