BERITA SEMASA

87 peratus pelaburan telah direalisasi – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Sebanyak 87 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan sejak tahun 2021 telah berjaya direalisasikan sehingga suku pertama 2025, sekali gus menolak dakwaan bahawa pengumuman pelaburan kerajaan hanya sekadar angka potensi semata-mata.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, angka tersebut membuktikan keberkesanan usaha kerajaan dalam memudahcara pelaburan dan komitmen tinggi pelabur asing terhadap negara ini.

“87 peratus, ya. Bukan 8 peratus, bukan 18 peratus tetapi 87 peratus. Ini membuktikan keberkesanan usaha kita menarik pelabur,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di platform media sosialnya.

Kenyataan itu dipercayai sebagai maklum balas terhadap tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa misi pelaburan ke luar negara hanya menghasilkan potensi pelaburan tanpa hasil sebenar.

Menurut Zafrul, sebaik syarikat memberikan komitmen untuk melabur, ia akan dikategorikan sebagai potensi pelaburan dan pemantauan akan dibuat oleh Jawatankuasa Task Force Pemudahcara Pelaburan (JT3P).

“Setiap pelaburan dipantau rapi, daripada peringkat rundingan awal hingga pelaksanaan.

“Perdana Menteri sendiri bersama saya akan bertemu pengurusan tertinggi syarikat gergasi dunia untuk meyakinkan mereka melabur di Malaysia.

“Selepas itu, pihak JT3P akan mengadakan sesi libat urus lanjut dengan syarikat terbabit untuk memudahkan kemasukan pelaburan, termasuk membantu proses pengemukaan permohonan,” katanya lagi.

Jelas beliau, hanya pelaburan yang memenuhi semua syarat akan diluluskan.

Zafrul berkata, usaha agresif kerajaan dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan telah menunjukkan hasil memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Pada 2022, kita mencatat pelaburan RM267.8 bilion. Tahun berikutnya, RM329.5 bilion. Bagi tahun 2024 pula, mencecah RM384.4 bilion dua tahun tertinggi dalam sejarah Malaysia.

“Kalau kita tak usaha bersungguh-sungguh untuk promosi pelaburan, mana mungkin kita mampu capai angka seperti ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, kerajaan tidak hanya mengejar angka komitmen pelaburan semata-mata, sebaliknya menekankan pelaksanaan projek supaya memberi impak sebenar kepada ekonomi dan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button