PM terima kunjungan pimpinan Nahdatul Ulama
CYBERJAYA – Kepentingan menguasai dan memelihara ilmu turath serta keupayaan membaca situasi semasa merupakan antara isi perbincangan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Pengurus Besar Nahdatul Ulama (NU), Kiyai Haji Yahya Cholil Tsaquf, malam tadi.
Menurut satu hantaran di laman Facebook milik Perdana Menteri, pertemuan yang turut disertai pimpinan NU dan pegawai kerajaan Malaysia itu diadakan selepas Anwar selesai mengadakan program Temu Anwar di Jakarta, Indonesia, malam tadi.
“Saya singgung pengalaman panjang saya bersama Almarhum Abdurrahman Wahid (Gus Dur), mantan Presiden Indonesia serta pemimpin NU yang saya anggap sebagai sahabat yang setia dari waktu saya hadapi kesukaran dalam perjuangan politik saya.
“Saya juga zahirkan penghargaan kepada kepimpinan NU yang sudi hadir untuk bertemu dan bertukar pandangan,” kata Anwar.
Beliau turut berharap supaya perbincangan seperti itu dapat dilakukan lagi demi manfaat umat.
Terdahulu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di Jakarta, Indonesia dari 5 hingga 7 Sept ini.
Semalam, program dialog anak muda bersama Anwar iaitu Temu Anwar, telah diadakan buat julung kali di negara itu.