Kes Ahmad Zahid bermotifkan politik – Peguam
KUALA LUMPUR – Tindakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah dan pecah amanah adalah berasas.
Peguam, Datuk Hisham Teh Poh Teik yang mengetuai pembelaan Ahmad Zahid berkata, antara pembelaan yang di kemukakan oleh anakguamnya sepanjang perbicaraan tersebut adalah kes ini merupakan suatu Pendakwaan Politik (Political Prosecution).
“Dalam keterangan bersumpah anakguam kami di dalam mahkamah, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu telah memanggil anakguam kami dan memberikan arahan dalam nada yang tegas kepada anakguam kami untuk membubarkan UMNO atau untuk menerima sebarang akibat sekiranya arahan beliau tidak dipatuhi.
“Perjumpaan dengan Tun Mahathir adalah pada Jun 2018. Anakguam enggan tunduk kepada ugutan Tun Mahathir tersebut dan pada 2 Julai 2018 anakguam telah di panggil oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk tujuan siasatan dan tindakan mahkamah. Anakguam telah dituduh pada 19 Oktober 2018,” kata Hisham dalam satu kenyataan, hari ini.
Sejurus dituduh di mahkamah, Ahmad Zahid telah mengemukakan lapan Surat Representasi kepada Jabatan Peguam Negara dan yang terkini pada 25 Januari 2023 memohon supaya pertuduhan ke atas beliau dikaji semula.
Sehubungan itu, pada 20 Februari 2023, Hisham selaku peguam kepada Ahmad Zahid, telah disalinkan satu surat daripada SPRM kepada Jabatan Peguam Negara berkaitan Tindakan Mahkamah tersebut.
“Surat SPRM tersebut menyatakan, antara lainnya berpendapat bahawa penting untuk siasatan lanjut dibuat supaya kes pendakwaan lebih kukuh dan SPRM sudah pun mula mendapatkan petunjuk-petunjuk dan bukti-bukti baharu.
“Siasatan yang tidak lengkap ini telah menyebabkan reputasi SPRM selaku pasukan penyiasat dan Jabatan Peguam Negara selaku pasukan pendakwaan tercemar di mata masyarakat,” kata Hisham.
Ketika perbicaraan dijalankan, Hisham berkata, pembelaan Ahmad Zahid di peringkat pendakwaan dan di peringkat pembelaan adalah konsisten, dan beliau berkongsi fakta seperti:
– Ucapan pembukaan pihak pendakwaan pada awal kes ini mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa tidak ada satu sen pun dana Yayasan Akal Budi di gunakan untuk tujuan kebajikan. Pihak pembelaan telah pun membuktikan melalui saksi-saksi pendakwaan sendiri bahawa kenyataan ini tidak benar dan menunjukkan bukti bahawa sumbangan dan projek yang di kendalikan oleh Yayasan Akal Budi melebihi daripada RM100 juta, untuk tujuan kebajikan dan amal jariah termasuk membina masjid di seluruh dunia, maahd tahfiz serta rumah anak yatim dan cetakan Al Quran,
– Selain itu, Saksi pendakwaan sendiri termasuk bekas pembantu anakguam kami dan juga pakar dari Jabatan Kimia Malaysia telah mengesahkan bahawa majoriti cek-cek yang di gunakan untuk membayar kad kredit bagi kes ini tidak di tandatangani oleh anakguam kami sendiri dan pembantunya telah menggunakan cop-cop tandatangan di atas cek-cek tersebut,
– Saksi-saksi pendakwaan sendiri yang di panggil berkenaan lapan pertuduhan rasuah bagi kes ini juga telah menafikan bahawa mereka telah memberikan rasuah kepada anakguam kami,
– Saksi utama bagi 27 kes Penggubahan Wang Haram kesemuanya telah mengesahkan bahawa wang yang dimasukkan ke dalam firma guamannya tidak ada apa-apa yang mencurigakan dan melanggar undang-undang berkaitan wang yang di kendalikan bagi pihak Yayasan.
Beliau seterusnya berkata, gambaran latar belakang kes tersebut perlu didedahkan kepada umum supaya tidak wujud sebarang persepsi negatif terhadap institusi undang-undang di negara ini khususnya kepada Jabatan Peguam Negara serta SPRM.