Guru wanita arah tampar pelajar Islam disiasat
NEW DELHI – Pihak berkuasa India memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap seorang guru di sebuah sekolah rendah negara itu yang mengarahkan murid-muridnya menampar seorang murid lelaki beragama Islam.
Penguasa polis, Satyanarayan Prajapat berkata, pihak berkuasa telah menyiasat insiden yang tular di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat global bagi meredakan situasi dan menegakkan keadilan.
“Siasatan dan tindakan akan diambil ke atas guru wanita di daerah Muzaffarnagar. Kita juga akan memastikan adakah tindakan guru berkenaan bersifat peribadi atau atau lagi guru yang bertindak demikian,” katanya.
Dalam video yang tular beberapa hari lalu, seorang guru wanita dilihat memberi arahan kepada murid-murid dipercayai beragama Hindu supaya menampar muka seorang murid beragama Islam secara bergilir-gilir.
Bapa mangsa yang menyedari kes berkenaan melalui media sosial juga dikatakan telah membuat laporan polis.
Kumpulan hak asasi manusia berkata, jenayah kebencian dan keganasan terhadap minoriti Islam di India semakin meningkat sejak Perdana Menteri Hindu-nasionalis, Narendra Modi memegang jawatan pada 2014.
Rakaman itu menimbulkan kekecewaan meluas pengguna media sosial, dengan ketua pembangkang, Rahul Gandhi menyalahkan pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) kerana mencetuskan sikap tiada toleransi agama di negara majoriti Hindu