PRK DUN Pelangai ditetapkan pada 7 Oktober – SPR
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang pada 7 Oktober depan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon adalah pada 23 September manakala 3 Oktober ditetapkan sebagai hari pengundian awal.
“PRK Pelangai melibatkan kos RM2.1 juta dan sejumlah 16,456 pemilih terlibat,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK Pelangai, di sini hari ini.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sebelum ini diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Allahyarham yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu.
Dalam persaingan empat penjuru itu, Allahyarham memperoleh 7,308 undi dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; calon Pakatan Harapan (PH), Ahmed Wafiuddin Shamsuri; dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad.