Polis Sydney tahan lelaki cetuskan kekecohan dalam pesawat MH122
CYBERJAYA – Individu yang mencetuskan kekcohan dalam pesawat milik Malaysia Airlines, MH122 ditahan oleh polis Sydney untuk siasatan lanjut.
Dalam satu kenyataan terbaharu yang dikeluarkan, Malaysia Airlines memaklumkan kesemua 199 penumpang dan 12 kru berada dalam keadaan selamat, selepas dikeluarkan dari pesawat pada pukul 7 malam waktu tempatan.
Pihak berkuasa tempatan turut melakukan pemeriksaan rapi pada pesawat tersebut.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa penumpang akan dipindahkan ke penerbangan seterusnya, selepas menerima pelepasan daripada pihak berkuasa.
Terdahulu, sebuah portal berita antarabangsa melaporkan, penerbangan MH122 yang dalam perjalanan dari Sydney ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik susulan ‘insiden kecemasan’ di udara.
MH122 berlepas dari Sydney pada pukul 1.40 tengah hari dan mendarat semula pada jam 3.47 petang.
Video yang disiarkan menerusi X (Twitter) oleh individu yang didakwa berada dalam pesawat terbabit menunjukkan kru penerbangan cuba menenangkan seorang lelaki yang menjerit kepada penumpang lain.