Jenayah & Mahkamah

Kenyataan Lukman Sherif berkaitan Sister in Islam dalam kes Nik Elin mengelirukan – Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA – Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) menegaskan hantaran oleh seorang oleh pemilik akaun Facebook Lukman Sherif berhubung tindakan mahkamah membenarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sisters in Islam mendapat status amicus curia dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid adalah tidak tepat.

Menurutnya dalam satu kenyataan, status dalam hantaran itu bukan sahaja tidak tepat malah cuba mengelirukan orang awam.

“Berdasarkan rekod untuk kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan satu lagi lawan Kerajaan Negeri Kelantan, selain Sisters in Islam, terdapat dua lagi pihak iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang telah dibenarkan untuk menjadi amicus curiae.

“Manakala Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis serta Badan Peguam Malaysia dibenarkan menjadi watching brief dalam prosiding tersebut,” katanya hari ini.

Terdahulu dalam satu hantaran dalam laman Facebook Lukman Sherif, peguam itu mendakwa setakat hari ini, hanya Sisters in Islam berjaya mendapat status amicus curiae di mana mereka jika diizinkan oleh mahkamah boleh beri pandangan dan berhujah manakala PPMM dan Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan tidak dapat menjadi amicus dan sekadar peguam pemerhati.

Menurut Lukman, menerusi keputusan itu, PPMM dan Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan tiada peluang berhujah.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, Sisters in Islam telah membuat permohonan untuk menjadi amicus curiae pada 20 April 2023 manakala permohonan oleh Persatuan Peguam Muslim Malaysia dibuat pada 4 Ogos 2023 dan oleh Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan pada 7 Ogos 2023 iaitu kurang dua minggu dari tarikh pendengaran yang telah ditetapkan lebih awal.

Katanya, pihaknya juga mengambil serius tindakan pihak-pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan orang awam dan meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi laporan atau posting yang tidak tepat di media sosial.

Show More

Related Articles

Back to top button