Tempat Ahmad Yakob, Nik Amar digantikan tokoh lain jika PAS menang di Kelantan
KUALA LUMPUR – Kedudukan Datuk Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar Kelantan akan digantikan dengan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lain sekiranya PAS menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, tempat Pesuruhjaya PAS Kelantan itu akan digantikan dengan tokoh baharu.
Pada masa sama, katanya, tempat Timbalan Menteri Besar yang disandang oleh Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah juga akan digantikan dengan muka baharu.
“Perubahan gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar sekarang bagi negeri Kelantan, dengan mengemukakan ‘gabungan’ kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh Agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan ampun perkenan Tuanku Al-Sultan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut katanya, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat semalam yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Dalama pada itu katanya, mesyuarat tersebut juga bersetuju mengekalkan Menteri Besar bagi negeri Terengganu dan Kedah.
Bagaimanapun katanya, keputusan itu tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan sultan kedua-dua negeri itu.
Sehubungan itu, PAS menyeru semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab pada esok dengan memilih pemimpin yang Prihatin, Bersih dan Berkebajikan dari PAS dan Perikatan Nasional.
Selain itu, beliau juga berharap proses pilihan raya di enam negeri berjalan dengan aman dan lancar.