Berita Semasa

SPR tetapkan PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram pada 9 Sept

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan pada 9 September 2023.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata, penamaan calon dijadualkan pada 26 Ogos manakala undi awal pada 5 September 2023.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Sehubungan itu, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram, Johor akan dibuka bermula hari ini (3 Ogos 2023).

Permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Anggota/Pegawai SPR dan Petugas Media), Kategori 1B (Warganegara Malaysia yang tinggal di luar Negara) dan Kategori 1C (Agensi/Organisasi), dilaksanakan secara atas talian (online).

Bagi maksud PRK Parlimen Pulai, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Mankala bagi PRK DUN Simpang Jeram, Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Muar akan digunakan sebagai PPC dan PPRU.

Bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Pulai, seramai 2,692 orang petugas akan dilantik dengan keseluruhan jumlah pusat mengundi bagi PRK Parlimen Pulai adalah sebanyak 49 buah dengan 297 tempat mengundi/saluran.

Tambahnya, PRK Parlimen Pulai dianggarkan menggunakan peruntukan sebanyak RM4.5 juta manakala PRK DUN Simpang Jeram dianggarkan sebanyak RM1.5 juta..

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Pulai, Johor adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemaskini sehingga 23 Julai 2023.

Abdul Ghani menambah, para pengundi bagi kedua-dua PRK ini boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124.

Semakan maklumat pengundian akan mula dibuka pada 21 Ogos 2023 (Isnin).

Show More

Related Articles

Back to top button