Mahdzir mahu ulangi kejayaan sebagai calon ‘underdog’ rampas Pedu
PADANG TERAP – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mahu mengulangi kejayaannya pada 2004 dan 2008 sebagai calon ‘underdog’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu.
Menurut beliau, situasi yang dialaminya kini hampir menyamai tahun 2004 apabila kembali bertanding DUN Pedu dan berjaya merampas kerusi berkenaan daripada wakil rakyat Pas.
Kejayaan lalu itu bagaimanapun katanya, dianggapnya sebagai sejarah dan ia dijadikan panduan untuk disesuaikan dengan situasi masa kini yang jauh berbeza situasi politiknya.
“Saya bermula sebagai wakil rakyat di DUN Pedu dan pada masa itu saya merupakan calon bukan pilihan, juga bertanding melawan Pas.
Kali ini situasinya hampir sama dan saya yakin pengundi akan memberi peluang untuk saya berkhidmat di sini,” katanya selepas diumumkan sebagai calon DUN Pedu oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya, Iman Hazwan Abd Halim di Pusat Penamaan Calon (PPC) Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap, di sini hari ini.
DUN Pedu menyaksikan Mahdzir akan bertembung satu lawan satu dengan penyandang kerusi berkenaan, Mohd Radzi Md Amin daripada Perikatan Nasional (PN-Pas).
Pada PRU-14, Mohd. Radzi memenangi DUN Pedu menewaskan calon BN, Kama Noriah Ibrahim serta Hashim Idris dari PKR dengan majoriti 670 undi.
Seramai 28,586 pemilih layak mengundi di kawasan DUN Pedu melibatkan 51 saluran mengundi kali ini.
Ditanya mengenai kemenangan dua penggal di DUN Pedu bukan suatu kelebihan, Mahdzir mengakui ia sekadar sejarah dan menjadikan perkembangan politik baharu sebagai panduan untuk mendekati pengundi.
“Itu cerita lama, sekarang kita buka cerita baru (Kerajaan Perpaduan). Sejarah menjadi panduan, kita tak ambil 100 peratus berdasarKan sejarah lalu. Perkara yang berlaku pada ketika ini harus diambil kira,” ujarnya.
Beliau turut percaya momentum positif sebelum hari penamaan calon serta sokongan akar umbi akan berpihak kepada BN.
“Saya nampak trend positif untuk BN dan PH di DUN Pedu dan DUN Kuala Nerang di bawah Parlimen Padang Terap. Campuran undi BN-PH berdasarkan arus yang berlaku mampu berikan kemenangan.
“Pengundi boleh fikirkan sebaiknya apa yang positif untuk kebaikan mereka. Saya lihat pertimbangan (pengundi) atas kebaikan masa depan, bukan emosi,” katanya.