PDRM giatkan usaha kesan suspek letakkan IED pada kereta Siti Kasim
KUALA LUMPUR – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menggiatkan usaha mengesan suspek yang meletakkan bom jenis Improvised Explosive Device (IED) di bahagian tayar kereta milik peguam, Siti Kasim.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penemuan objek bom itu adalah satu jenayah serius dan ancaman terbabit umpama cubaan membunuh.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Razarudin berkata, polis mengambil tindakan agresif dalam siasatan dan tidak akan membiarkan individu tidak bertanggungjawab melakukan jenayah sedemikian.
“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
Razarudin turut tidak menolak kemungkinan suspek kejadian mempelajari teknik membuat bahan letupan itu menerusi internet.
Andaian itu, jelasnya, adalah berdasarkan soal siasat yang dijalankan sebelum ini terhadap suspek kes letupan bungkusan di hadapan sebuat restoran di Pandan Indah, Ampang Jaya, Disember lepas yang mengaku mempelajari pembuatan IED di internet.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam satu kenyataan memaklumkan setakat ini sembilan saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pada Jumaat lalu, Siti Kasim dalam siaran langsung Facebook mendakwa keretanya diletakkan objek menyerupai bom.
Siti Kasim berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis pada jam 12 tengah hari.