Politik

Cara tangkapan terhadap Sanusi melampau – Hamzah

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyelar tindakan yang diambil terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa di bawah Akta Hasutan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pihak polis bagi menyerbu dan menangkap Muhammad Sanusi pada pukul 3 pagi merupakan perbuatan berlebih-lebihan dan penganiayaan yang sengaja dibuat hanya kerana dendam politik.

“Apa perlunya Menteri Besar Kedah dilayan sebegitu rupa? Sedangkan beliau telah pun memohon maaf dalam isu ini dan beliau juga telah menyatakan kesediaan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dengan notis untuk hadir ke mahkamah juga telah diserah terima.

“Pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi adalah untuk kesalahan di bawah seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum hanya RM5,000. Malah, pasukan pendakwaan yang diketuai Peguamcara Negara sendiri menawarkan jaminan hanya RM5,000. Jadi, adalah amat jelas cara penangkapan tersebut melampau dari kesalahan yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, PN akan terus sentiasa menjunjung, memelihara dan mempertahankan kemuliaan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.

Namun katanya, pada masa yang sama, pihaknya menentang keras siri pendakwaan terpilih dan perbuatan menyalahgunakan Akta Hasutan bagi tujuan penganiayaan politik, memandangkan ada
pemimpin bukan PN yang terbabit mengeluarkan kenyataan menghasut tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu, beliau turut meminta semua pihak khususnya penyokong PN kekal bertenang serta jaga ketertiban awam.

Pada masa sama beliau turut mengajak semua penyokong PN berdoa agar Menteri Besar Kedah mendapat keadilan di mahkamah.

Show More

Related Articles

Back to top button