KKD bincang dengan Perkeso caruman untuk wartawan sambilan
KAMPAR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pihak terbabit berhubung caruman untuk stringer atau wartawan sambilan, lapor Sinar Harian.
Menteri, Fahmi Fadzil, berkata beliau telah berbincang mengenai perkara itu bersama Ketua Setiausaha Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan berharap ia dapat dilaksanakan segera.
Beliau berkata pihaknya perlu meneliti isu dihadapi oleh para stringer yang tidak berkhidmat dengan organisasi atau syarikat media secara sepenuh masa.
Antara perkara yang akan diteliti, katanya, ialah apabila berlaku kemalangan dan pemberita terbabit tidak boleh bekerja namun proses rehabilitasi berkos tinggi serta tidak ditampung oleh PERKESO.
“Jadi ada beberapa perkara kita nak teliti dan tambah baik sebab bagi saya stringer melengkapkan ekosistem bagi para pengamal media dan mereka banyak membantu, maka kita nak teliti apa yang kita boleh lakukan untuk membantu lebih ramai stringer,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Fahmi menziarahi wartawan bebas Ng Kan Seng di kediamannya di sini bagi menyampaikan bantuan dan memberi sokongan kepada Ng yang kini uzur.