KKD adakan program memperingati Tun Dr Ismail sempena Bulan Kebangsaan tahun ini
KUALA LUMPUR – Satu program memperingati jasa bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman akan diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, program memperingati negarawan itu merupakan antara pengisian menarik yang akan menghiasi sambutan yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Julai ini.
“Pada 2 Ogos ini adalah ulangtahun ke 50 pemergian Tun Dr Ismail yang meninggal dunia ketika beliau memangku jawatan Perdana Menteri.
“Jadi KKD akan mengusahakan satu porgram khas bagi memperingati salah seorang tokoh negara yang sangat penting dan mustahak dari segi susur-galur sejarah dan perjalanan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program Soal Rakyat di TV3 petang ini.
Selain itu kata beliau, sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini yang bertemakan “Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” akan dimeriahkan dengan pengisian program di peringkat sekolah, dalam komuniti, dan rukun tetangga.
Antaranya pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Bulatan Azlan Shah, Meru Raya, Ipoh, Perak, pada 16 Julai ini, diikuti Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya manakala Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept berlangsung di Kuching, Sarawak.