MELAKA – Seorang guru tadika ditemukan maut dalam rumahnya di Taman Kota Laksamana, di sini petang semalam selepas dipercayai menikam dirinya menggunakan pisau.
Difahamkan, sebelum itu wanita berusia 56 tahun berkenaan cuba membunuh anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 26 tahun dengan menikam leher mangsa.
Laporan Utusan Online mneyebut, kejadian itu terbongkar selepas anak wanita itu yang terselamat, namun mengalami kecederaan parah menelefon neneknya dan memaklumkan, lehernya ditikam oleh si mati.
Seorang ahli keluarga yang enggan namanya disiarkan berkata, nenek mangsa yang juga ibu kepada si mati bersama beberapa ahli keluarga telah ke lokasi kejadian kira-kira pukul 3 petang untuk memeriksa keadaan kedua-dua beranak itu.
Katanya, mangsa keluar dari rumah dalam keadaan baju berlumuran darah dan mendapati, si mati dalam keadaan tertiarap, tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di bahagian ruang tamu.
“Mangsa beritahu ibunya telah menyuruhnya menelan banyak parasetamol dan tidur dalam keadaan tidak berbaju sebelum tiba-tiba menikam lehernya menggunakan pisau,” katanya kepada Utusan Online, semalam.
Tambahnya, beberapa hari sebelum tragedi, si mati berubah menjadi pendiam dan tindak-tanduknya dilihat seperti tertekan.
“Kami syak dia ingin mati bersama anaknya, dia seorang ibu tunggal dan mempunyai dua anak. Mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik, manakala anak sulung berusia 28 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.