Empat terbunuh akibat sahut cabaran TikTok
MONTGOMERY – Sekurang-kurangnya empat terbunuh dalam tempoh enam bulan lalu akibat melakukan cabaran TikTok (TikTok Challenge) lompat dari bot di Alabama.
Perkara tersebut dimaklumkan skuad penyelamat bandar Childersburg, Kapten Jim Dennis yang menyatakan kesemua mangsa adalah lelaki.
Menurutnya, cabaran tersebut yang kini menjadi ikutan di Amerika Syarikat (AS) mengakibatkan kematian serta-merta itu disebabkan mangsa mengalami patah leher.
Difahamkan, cabaran itu memerlukan orang ramai melakukan pelbagai aksi berbahaya seperti backflip ketika bot sedang bergerak dalam kelajuan tinggi.
“Sebenarnya kematian boleh dielakkan tetapi kerana mahukan perhatian dan terpengaruh, mangsa sanggup menyahut cabaran yang tidak berfaedah ini.
“Pada Februari lalu, seorang lelaki maut selepas menyahut cabaran tersebut.
“Insiden itu dirakam isterinya dan lebih menyedihkan tiga anak mereka turut berada di dalam bot berkenaan,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.
Tambah Dennis, dia menjangkakan lebih ramai individu cuba menyahut cabaran tersebut memandangkan cuti musim panas semakin hampir.
“Saya rasa orang ramai lebih cenderung melakukan sesuatu yang bodoh kerana mereka mahu menunjuk-nunjuk di hadapan rakan mereka untuk dimuat turun dalam media sosial,” katanya.
Lompat dari bot bukan satu-satunya cabaran yang membawa maut di TikTok.
Pada Jun tahun lalu, cabaran ‘malaikat kematian’ yang popular dalam kalangan ‘kaki TikTok’ di Indonesia telah menyebabkan seorang remaja mati serta-merta di lokasi kejadian.
Cabaran itu memerlukan orang ramai mengelak pada saat akhir lori yang dipandu menuju ke arah mereka.