Berita Semasa

Ekspo TVET@KKDW mampu tingkat enrolmen pelajar

KEPALA BATAS  – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yakin penganjuran Ekspo Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)@KKDW 2023 yang akan diadakan pada 14 hingga 16 Julai ini akan dapat meningkatkan enrolmen pelajar di semua Institusi Pendidikan TVET@KKDW.

Menurut Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ramlan Harun, penganjuran ekspo yang bakal diadakan di Bertam Square, di sini melibatkan penyertaan dan kerjasama daripada 280 institusi pendidikan TVET di bawah tujuh agensi utama KKDW.

Katanya, antara kelebihan Program TVET@KKDW ini adalah, ia memberi fokus kepada program berimpak tinggi sebagai katalis kepada pelbagai inisiatif yang dirancang dalam ekosistem program itu sendiri.

“Seperti kita sedia maklum, Piha Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.7 bilion untuk memperkasa bidang TVET bagi 12 Kementerian termasuklah KKDW seperti yang telah diumumkan menerusi Belanjawan 2023 yang lalu. Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM679.46 juta telah diperuntukkan untuk program TVET@KKDW.

“Kalau kita bercakap mengenai TVET, sememangnya KKDW sentiasa komited dalam memperkasakan pendidikan TVET di luar bandar ini menerusi 280 Institusi TVET@KKDW dengan pelbagai 529 program yang telah dirancang.

Justeru, selain program sedia ada, KKDW  memberi fokus kepada Program TVET berimpak tinggi sebagai katalis kepada pelbagai inisiatif yang dirancang dalam ekosistem TVET@KKDW, melalui pengembelengan bersepadu semua pihak yang berkepentingan.

“Ianya termasuklah program TVET komuniti yang berpaksikan pelaksanaan program peningkatan kemahiran berbentuk kemasyarakatan serta dibudayakan secara meluas merentas seluruh demografi masyarakat,” katanya dalam satu temubual bersama Harian Metro.

Mengulas lanjut, Ramlan berkata, sehingga 31 Mac tahun ini, seramai 13,347 orang pelajar baharu telah mendaftar dan memulakan pengajian di Institusi Pendidikan TVET@KKDW, manakala enrolmen bilangan pelajar sedia ada sehingga tempoh yang sama adalah seramai 53,412 orang pelajar.

“Secara tidak langsung, jumlah pelajar yang besar ini melambangkan penerimaan dan kepercayaan masyarakat kepada Institusi Pendidikan TVET@KKDW.

“Program TVET di KKDW ternyata mampu melahirkan belia luar bandar yang kompeten dan berdaya saing melalui program TVET, graduan yang berkemahiran dan mempunyai peluang cerah dalam kehidupan.

“Kebolehpasaran graduan yang diambil kira dalam aspek melanjutkan pengajian, menjadi usahawan atau bekerja dengan majikan dalam tempoh 6 bulan selepas graduasi bagi Institusi Pendidikan TVET@KKDW adalah tinggi iaitu mencapai purata 91.42%,” katanya lagi.

Untuk rekod, antara Institusi Pendidikan TVET@KKDW yang terlibat dalam ekspo berkenaan adalah seperti Akademi Kemahiran KEMAS; Universiti Kuala Lumpur (UniKL); German-Malaysian Institute (GMI); MARA Japan Industrial Institute (MJII); Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM); Institut Kemahiran MARA (IKM) dan berbagai lagi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button