Berita Semasa

PRN: MCA,MIC tidak bertanding

CYBERJAYA – Parti MCA dan MIC tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri pada bulan depan.

Terdahulu, keputusan MCA untuk tidak bertanding diumumkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon yang berkata, partinya akan menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), selain melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.

“Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA hari ini selepas perbincangan, analisis serta mengambil kira situasi politik semasa,” kata Sin Woon dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, MCA akan memainkan peranan sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam membantu calon-calon parti komponen BN pada PRN itu.

Seterusnya, MIC turut mengumumkan keputusan yang sama menerusi satu kenyataan dibuat Setiausaha Agungnya, RT. Rajasekaran.

Kenyataan itu menyebut, keputusan untuk tidak bertanding itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung pada 30 Jun lepas setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.

“Keputusan MIC untuk tidak bertanding pada PRN yang akan datang dibuat semata-mata untuk melindungi kepentingan parti.

“Pada masa ini, MIC akan memberi lebih perhatian kepada proses untuk membina struktur parti yang lebih mantap bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak,” kata Rajasekaran dalam kenyataan itu..

Beliau seterusnya menambah, keputusan parti telah pun dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Kerajaan Perpaduan.

PRN di enam negeri iaitu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan dijalankan secara serentak pada 12 Ogos, dengan hari penamaan calon diadakan pada 29 Julai dan hari pengundian awal pada 8 Ogos.

Show More

Related Articles

Back to top button