CYBERJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan telah menerima notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada Speaker DUN masing-masing.
Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas pada Rabu.
“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” kata Setiausaha SPR, Dato Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Sebelun ini, Kelantan membubarkan DUN pada 22 Jun lalu diikuti Selangor sehari selepas itu manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing 28 Jun.
Negeri Sembilan pula menjadi negeri terakhir membubarkan DUN iaitu pada Sabtu lalu.
Berdasarkan Artikel 55(4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya wajib dijalankan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.