Sukan

Benzema pilih Arab Saudi kerana agama

JEDDAH – Penyerang sensasi, Karim Benzema mendedahkan sebagai seorang Muslim, dia sentiasa mengimpikan untuk tinggal di Arab Saudi sekaligus, mendorongnya memilih Al-Ittihad sebagai kelab baharunya.

“Kerana saya seorang Muslim dan ia adalah negara Islam. Saya sentiasa mahu tinggal di sana. Saya sudah pernah ke sana dan saya menyukainya.

“Bagi saya ia adalah tempat yang saya mahu pergi. Saya barharap dapat membantu kelab baharu saya dan paling penting ialah memenangi kejuaraan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, Benzema disambut lebih 60,000 penyokong Al-Ittihad dengan persembahan bunga api dan nyanyian koir mengiringi ketibaannya di stadium.

Pemenang Ballon d’Or itu meninggalkan Real Madrid untuk menyertai Liga Pro Saudi dengan bayaran lumayan.

Al-Ittihad menewaskan kelab diwakili Cristiano Ronaldo, Al-Nassr untuk gelaran liga dengan kelebihan lima mata.

Benzema, 35, dilaporkan menerima tawaran 342 juta pound (RM1.98 bilion) untuk menamatkan karier 14 tahun bersama gergasi Sepanyol itu dan menyertai Ronaldo di Timur Tengah.

Selain kontrak bersama kelab, Benzema juga dijangka akan menerima bayaran tambahan bagi mempromosi bidaan Arab Saudi untuk Piala Dunia 2030.

Real Madrid akan mengadakan majlis penghargaan buat Benzema pada Selasa yang akan dihadiri presiden kelab, Florentino Perez.

Untuk rekod, Benzema memenangi empat gelaran La Liga, lima Liga Juara-Juara Eropah dan tiga Piala Raja Sepanyol sepanjang kariernya di Santiago Bernabeu.

Bekas penyerang Perancis itu meledak 354 gol dalam 648 penampilan untuk Real, dan turut melakukan 165 umpanan gol.

Show More

Related Articles

Back to top button