Keluarga Najib yakin beliau dianiaya, akan terus berjuang dapatkan kebebasannya
KUALA LUMPUR – Keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap yakin beliau tidak bersalah tetapi sebaliknya dianiaya, dan berharap supaya momentum perjuangan bagi pembebasan ayahnya diteruskan dan tidak terhenti.
Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, mereka sekeluarga senitasa berharap supaya keadilan dapat ditegakkan dan UMNO terus memperjuangkan nasib bekas ahli Parlimen Pekan itu.
“Kita yakin beliau tak bersalah dan dianiayai. Saya harap segala usaha yang dibuat untuk membelanya tidak dihentikan.
“Saya berterima kasih kepada pemimpin UMNO yang telah melakukan usaha menyuarakan dan membuat gerakan supaya beliau dapat pembelaan secukupnya namun saya berharap momentum itu tidak akan terhenti ataupun menjadi perlahan.
“Usaha itu perlu dilipatgandakan supaya ayah dapat dibebaskan dalam masa terdekat, itu harapan daripada keluarga,” katanya ketika ditemui di Laman Media Perhimounan Agung UMNO 2023 (PAU2023) di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), di sini hari ini.
Beliau kemudiannya berkata, anugerah yang diterima bapanya merupakan satu penghargaan di atas segala jasa yang telah ditaburkan sebelum ini.
“Kami berdua (beliau dan Datuk Mohd Nazifuddin Najib) sebak dengan penghargaan yang diberikan oleh Pemuda UMNO.
“Semasa memberi anugerah itu, Ketua Pemuda (Dr Muhamad Akmal Saleh) beritahu saya, jangan risau dan mereka akan berjuang untuk najib buat ‘come back’.
“Sebagai anak, sudah tentu saya menghargai segala usaha terutama sekali oleh UMNO untuk membela ayahanda yang masih menjalani hukuman di Penjara Kajang,” katanya.
Pagi tadi, Najib diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pemuda 2023 dan anugerah tersebut diterima Nizar sebagai wakil.
Pada 7 April lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan UMNO akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh kepada Najib.
Menurutnya, Seri Paduka mempunyai kuasa berdasarkan Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi pengampunan penuh kepada Najib berdasarkan ihsan Baginda.