LIMA’23: Pesona Langkawi Seni Budaya dan Pelancongan sajikan pelbagai persembahan menarik
LANGKAWI – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menganjurkan program Pesona Langkawi Seni Budaya dan Pelancongan 2023 selama empat hari bermula dari 24 hingga 27 Mei ini di Dataran Lang dan Gunung Raya Tower House, Gunung Raya di sini.
Menurut MOTAC dalam satu kenyataan, ia diadakan bersempena dengan penganjuran Langkawi International Maritime And Aerospace Exhibition (LIMA‘23).
“Program ini merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk menyemarakkan kegiatan ekonomi di negeri Kedah di mana ia melibatkan ramai pihak, terutamanya kepada
penggiat industri pelancongan, seni, budaya dan warisan.
“Ia juga memberi peluang kepada pelancong dalam dan luar negara mengenali dan menikmati keindahan serta keunikan kepelbagaian aspek seni, budaya dan warisan negara,” katanya.
Sementara itu, program itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha,
MOTAC, Datuk Saraya Arbi yang hadir mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Menurut Saraya, program Pesona Langkawi dapat menggalakkan pemuliharaan seni dan budaya penggiat-pengiat seni khususnya di Pulau Langkawi.
Tambah beliau, kepelbagaian budaya rakyat Malaysia dari segi pakaian, makanan dan kesenian memberikan pengalaman yang berbeza kepada para pelancong dan seterusnya mempelbagaikan produk pelancongan demi merancakkan industri pelancongan negara.
“Antara pengisian menarik yang telah diatur sepanjang empat hari program ini berlangsung ialah Persembahan Khas Muzikal Tari “Keajaiban Puteri Langkawi”,
Persembahan Colors of Malaysia, Permainan Tradisional, Pertandingan Battle of The Buskers, Persembahan Muzik Asli dan Cak Lempong, Larian Sarong, Senam Seni, Pameran, Food Fusion dan Community Based Arts.
“Turut diadakan, Pertandingan Sepak Raga Tuju, Pertandingan Masakan Tradisional Langkawi, Pertandingan Kebaya Malaysia dan Pertandingan Nyanyian Irama Malaysia,” ujarnya.