Kerajaan bakal wujudkan RUU banteras ulat tiket
KUALA LUMPUR – Satu Rang Undang-Undang baharu bagi membanteras ulat tiket bakal diwujudkan tidak lama lagi.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, susulan itu beliau mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam hal tersebut.
Kata Fahmi, undang-undang tersebut perlu diwujudkan bagi menangani masalah ulat tiket yang sudah berlarutan.
“Saya telah bincang dengan Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), memang pada waktu ini di Malaysia kita belum ada undang-undang yang bersifat anti ulat tiket dan oleh sebab itu kita akan teliti bersama dengan kementerian lain yang mungkin menganjurkan aktiviti, program yang ada aspek penjualan tiket sama ada secara online atau tidak ada.
“Jadi penting untuk melihat apa peruntukan undang-undang yang boleh diwujudkan untuk mengelak masalah ulat tiket ini daripada berulang di masa depan,” kata Fahmi.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar bersama Salahuddin berkaitan penjualan semula tiket konsert Coldplay dengan harga tidak munasabah di Parlimen, hari ini.
Tambah Fahmi, isu ulat tiket yang sering mengambil kesempatan bukan hanya terjadi menjelang konsert besar tetapi turut berlaku setiap kali pertandingan bola sepak dan sambutan sesuatu perayaan.
“Jadi kita akan teliti kesesuaian, pengalaman negara luar juga diambil kira. Kita akan cuba tidak lama dari sekarang, pertemuan pada waktu ini kita nak mula proses siasatan selepas itu dapatannya akan membantu kami merangka perbincangan dengan agensi dan kemenetrian lain untuk meneliti Rang Undang-Undang berkaitan.
“Mungkin ada konsert pembelian tiket secara pukal seperti badan amal tapi ia bukan ulat tiket jadi kita kena faham keseluruhan konsep sebelum peruntukan diputuskan,” kata Fahmi.
Sementara itu, Salahuddin berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pelbagai agensi dan kementerian bagi memperincikan undang-undang berkenaan.
Terdahulu, beliau memaklumkan sebanyak 28 aduan tidak rasmi yang hanya dimuat naik di media sosial mendakwa wujudnya penjualan semula tiket Coldplay.
Sehubungan itu Salahuddin menyeru pembeli tiket kumpulan muzik terkemuka itu membuat aduan rasmi kepada KPDN sekiranya yakin menjadi mangsa penipuan.
“Sekiranya mangsa itu benar-benar ada bukti datanglah kepada KPDN dan kita akan siasat e-Tiket tidak keluar lagi kalau ada penjual kata sudah keluar maka ia adalah penipuan maka datanglah kepada KPDN,” tambah beliau.