Sukan SEA: Skuad terjun negara sapu bersih emas
PHNOM PENH – Penerjun negara mempamerkan aksi cemerlang selepas mendominasi Pusat Akuatik Morodok Techo di sini, dengan menyapu bersih pingat emas yang dipertandingkan di Sukan SEA Kemboja 2023
Mereka membuktikan Malaysia merupakan jaguh di rantau Asia Tenggara, sekali gus menggondol empat emas dalam empat acara yang dipertandingkan pada temasya kali ini.
Prestasi cemerlang skuad negara di Pusat Akuatik Morodok Techo dilengkapkan dengan pingat emas dan perak yang diraih Enrique Maccartney Harold dalam acara 10 meter (m) platform lelaki, hari ini.
Enrique mengumpul mata keseluruhan 442.95, mengatasi rakan senegara, Bertrand Rhodict Anak Lises yang meraih 384 mata manakala atlet penerjun Singapura, Max Lee Shen Oon (362.8) memenangi gangsa.
“Ini merupakan kali pertama menyertai Sukan SEA dan mahu menikmati pengalaman ini. Sasaran saya adalah untuk melakukan yang terbaik dalam setiap terjunan dan ia telah membuahkan pingat emas buat Malaysia.
“Setiap darjah kesukaran terjunan saya tidaklah begitu tinggi, namun saya cuba melakukan dengan terbaik bagi memastikan pungutan mata yang tertinggi,” kata Enrique.
Semalam, penerjun muda wanita negara, Lee Yiat Qing merangkul emas dalam acara 10m platform manakala seorang lagi penerjun muda negara, Kimberly Bong merangkul pingat emas acara 3m papan anjal wanita pada Isnin lalu.
Selain itu, Muhammad Syafiq Puteh juga mempertahankan pingat emas acara 3m papan anjal lelaki pada Selasa lalu.
Secara keseluruhan, kontinjen terjun negara menyumbang empat pingat emas, dua pingat perak dan satu gangsa melepasi sasaran tiga pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa yang ditetapkan.
Untuk, rekod skuad terjun negara turut menyapu bersih lapan pingat emas yang dipertandingkan di Sukan SEA Vietnam