Op Tropicana: SPRM tidak tolak kemungkinan sindiket rasuah penguatkuasa tempatan
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan terdapat agensi penguatkuasa yang menerima rasuah daripada sindiket penipuan dalam talian susulan tumpasnya satu sindiket penipuan antarabangsa pada 21 Februari lalu.
Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berdasarkan operasi tersebut, pegawai penyiasat telah mendapatkan nama-nama mereka yang terlibat.
Katanya, pihak SPRM tidak menolak kemungkinan akan membuka siasatan berhubung dakwaan tersebut.
“Kita percaya ada agensi agensi penguatkuasa yang disogok dan ini berdasarkan keterangan yang saya belum dibenarkan untuk beri sekarang.
“Tapi saya tidak tolak kemungkinan ada pihak berkuasa tertentu yang melindungi aktiviti mereka ini kerana mereka ini warga asing datang ke sini jadi ingin beroperasi kemungkinan mereka perlukan perlindungan tertentu.
“Berdasarkan operasi ini nampak ada mengikut kata pegawai penyiasat, ada nama-nama yang telah dicatat yang terlibat dalam melindungi kegiatan mereka,” dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Terdahulu, satu sindiket penipuan atas talian yang didalangi warga asing telah berjaya ditumpaskan dalam satu operasi yang dipanggil ‘Op Tropicana’ pada Selasa.
Sindiket terbabit menyasarkan warga Australia dan Britain sebagai mangsa mereka.
Tambah Azam, sindiket terbabit dipercayai telah memperoleh kira-kira AUD60 juta atau RM200 juta hasil kegiatan penipuan pelaburan dalam talian sejak 2019 sehingga sekarang.
“Kita dapati mereka ada kepakaran dalam buat penipuan kerana dan terdiri daripada pakar dalam bidang IT, pakar media sosial dan pakar dalam meyakinkan orang dalam melabur.
“Kebanyakan mangsa adalah dari Australia. Mereka (sindiket) daripada United Kingdom (UK) jadi loghat yang digunakan mesti sama bagi yakinkan mangsa yang kebanyakkan dari Australia,” jelasnya.
Ditanya mengenai mengapa pihak polis tidak terlibat dalam operasi ini, Azam berkata, kerjasama dengan pihak JIM adalah bagi membolehkan tempoh reman dipanjangkan kerana siasatan yang akan dijalankan mungkin mengambil masa yang lama.
Katanya, JIM adalah badan penguatkuasa yang paling tepat dalam operasi ini kerana penahanan warga asing adalah dibawah bidang kuasa mereka.
“Kami SPRM ambil keputusan untuk berkerjasama dengan Imigresen kerana kes ini selain melibatkan akta kami (SPRM) JIM mempunyai kuasa untuk menahan warga asing.
“JIM adalah jabatan yang paling tepat untuk ambil tindakan terhadap tahan warga asing ini kerana perkara tersebut dibawah bidang kuasa mereka. Kebetulan Imigresen ada skuad khas jadi tidak perlu kita cari agensi lain. Mereka juga ada tempat penahanan sendiri.
“Selain itu, kerjasama dari segi permohonan reman. Mula-mula kami akan mohon reman bawah akta SPRM selama 14 hari. Selepas itu pihak imigresen akan membantu dalam penahanan selanjutnya menggunakan Akta Imigresen,” jelasnya.
‘Op Tropicana’ yang dijalankan pada Selasa melibatkan 164 pegawai dari pelbagai agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan MultiMedia Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), SPRM) dengan kerjasama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) JIM.
Turut dirampas dalam operasi berkenaan wang tunai pelbagai mata wang terdiri daripada RM2.3 juta, AS$35000, SG$273 dan GBP£940. Selain itu, dua biji kenderaan Mercedes Benz dan Volvo XC60 turut dirampas.
Alatan elektronik seperti telefon bimbit, komputer riba, CCTV, perakam suara, mesin cetak dan cakera padat turut dirampas dalam operasi itu.