Kes tikam pesakit: Suspek mengamuk sebelum dibawa ke Hospital Selayang
SHAH ALAM – Pesakit mental yang menikam seorang lelaki di Hospital Selayang minggu lepas, dipercayai mengamuk di rumah kakaknya sebelum dibawa ke hospital berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, suspek yang dipercayai datang dari Lahad Datu, Sabah, bertindak agresif di rumah tersebut.
“Selepas berjaya ditenangkan, suspek dibawa ke Hospital Selayang menaiki kenderaan bersama ahli keluarganya pada kira-kira pukul 1.25 pagi.
“Kereta membawa suspek (turut) diiringi dua motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sehingga tiba di Hospital Selayang dan kemudiannya anggota polis berkenaan beredar untuk meneruskan tugas lain,” kata Sasikala dalam satu sidang akhbar, hari ini.
Pada Selasa lepas, seorang lelaki bertindak menikam seorang individu dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang di Jabatan Kecemasan, Hospital Selayang.
Akibat serangan tersebut, mangsa yang merupakan pesakit demam denggi berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan pada abdomen kiri dan kanan badan serta pada bahagian belakang badan.
Sasiakal menambah, keadaan suspek masih belum sesuai untuk ditemu bual.
“Selain itu, polis masih menunggu laporan psikiatri suspek dari pihak hospital bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya lagi.