Pembelajaran berasaskan peperiksaan dimansuhkan kerana mahu kurangkan tekanan kepada pelajar – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Pemansuhan pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan adalah satu usaha mengurangkan tekanan dalam kalangan murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak kementerian memberi tumpuan kepada kaedah pembelajaran antaranya berasaskan ‘inquiry’ (pertanyaan), eksplorasi, pengalaman, contextual (mengikut konteks) serta pentaksiran yang sepenuhnya melihat kepada pembangunan holistik murid,
“Anak ini akan diberi pembelajaran berdasarkan konten dan pengalaman, sekali gus bukan peperiksaan semata-mata.
“Pentaksiran bilik darjah akan berikan satu tanda aras lebih baik khusus untuk melihat dan menilai anak kita dengan lebih holistik.
“Ini melibatkan komponen pentaksiran bilik darjah, jasmani, sukan dan kurikulum dan juga psikometrik serta kecenderungan murid,” katanya.
Fadhlina berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) di Dewan Rakyat, hari ini.