Huawei Malaysia perkenal P60 Pro dan Mate X3 kepada pelanggan setianya
PUTRAJAYA – Huawei Malaysia hari ini mengadakan sesi pengenalan produk terbaharu mereka, telefon bimbit P60 Pro dan Mate X3 kepada pelanggan setia mereka.
Kedua-dua model ini belum lagi dilancarkan secara rasmi di Malaysia, namun Huawei mahu memberi peluang kepada pengguna untuk merasai sendiri keistimewaan telefon bimbit berkenaan.
Pakar Produk Huawei, Cheah Hunn Jiet berkata, program ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia produk mereka.
“Kami ingin berterima kasih kepada semua pelanggan yang telah meyokong produk kami selama ini.
“Jadi, kami buka peluang ini untuk mereka merasai sendiri produk terbaharu kami, iaitu telefon bimbit P60 Ultra dam Mate X3 sebelum ia memasuki pasaran Malaysia,” kata Hunn Jiet yang ditemui selepas program berkenaan.
Selain taklimat dan pembentangan video produk, pelanggan Huawei yang menyertai program tersebut di sebuah pusat membeli belah di sini, turut diberi peluang menggunakan sendiri telefon bimbit berkenaan.
“Saya tak nafikan, keistimewaan Huawei adalah adalah kameranya. Oleh sebab itu saya sentiasa tunggu produk terbaharu keluaran syarikat ini,” kata salah seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam.
Beliau kemudiannya menambah, program sebegini amat dialu-alukan kerana ia memberi peluang kepada pelanggan untuk membuat keputusan terbaik sebelum membuat pembelian, dan mendapatkan maklumat tepat daripada pakar.
“Dan ia membuatkan pelanggan rasa dihargai kerana program ini secara tidak langsung membuatkan pelanggan rasa dihargai kerana membeli produk mereka,” kata Nizam lagi.
Telefon bimbit Huawei P60 Pro merupakan model terbaharu dalam siri P yang memfokuskan kepada fotografi.
Model tersebut dioperasikan set cip Snapdragon 8+ Gen 1, dengan dua kapasiti RAM+ROM iaitu model 8gb+256gb dan 12gb+512gb.
Bagi model Mate X3 pula, ia merupakan sebuah telefon bimbit boleh-lipat yang dioperasikan oleh set cip Snapdragon 8+ Gen 1 dan hanya mempunyai satu kapasiti RAM+ROM sahaja iaitu 12gb+512gb.
Harga kedua-dua model tersebut bagi pasaran Malaysia belum diumumkan dan akan hanya diketahui di hari pelancaran rasminya pada 11 Mei nanti.