KPT mahu budaya buli dihentikan secara total
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mahu semua pihak bekerjasama dalam memastikan budaya buli di institusi pengajian tinggi (IPT) dihentikan sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan ekosistem pendidikan disemak semula bagi menangani kes buli susulan benerapa kes yang berlaku kebelakangan ini.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius insiden terbaru melibatkan seorang penuntut Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipercayai dipijak oleh pelajar senior sehingga mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk dan belakang badan.
“Saya telah berbincang dengan Menteri Pertahanan, menteri bertanggungjawab terhadap ALK, mengenai langkah-langkah yang boleh diambil secara bersama untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.
“Kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Keutamaan kita adalah memastikan budaya buli itu dihentikan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran buku Tun Abdul Razak: Imagining Malaysia’s Future Through His Lenses di ibu negara hari ini.
Zambry berkata, tindakan tegas, termasuk tindakan perundangan, perlu diambil terhadap pelaku yang terlibat dalam kes buli.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk mengemukakan cadangan dan menjalin kerjasama bagi memastikan keselamatan penuntut, termasuk mereka yang berada di bawah kawalan ALK.
“Saya tidak boleh mengambil pendekatan lepas tangan kerana mereka sebahagian daripada pelajar, walaupun sistem ALK agak berlainan. Keselamatan pelajar tetap menjadi keutamaan,” tambahnya.
Beliau turut berkata, semua naib canselor universiti telah diarahkan untuk memantau perbuatan buli dengan lebih dekat dan mengambil tindakan segera terhadap pelaku.
“KPT tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perbuatan buli di mana-mana institusi pengajian tinggi. Dasar kita jelas – tiada kompromi terhadap tindakan yang mencemarkan institusi pendidikan,” tegas Zambry.
Katanya, walaupun ALK tidak sepenuhnya di bawah pengawasan UPNM, beliau menekankan pentingnya sikap proaktif dalam menangani isu itu.
Pendekatan tegas yang diambil oleh KPT menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan institusi pengajian tinggi menjadi tempat yang selamat dan bebas daripada budaya buli sekali gus melahirkan generasi pelajar yang berintegriti dan bertanggungjawab.