Program DLP tunjuk prestasi memberangsangkan tahun demi tahun – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Program Dwibahasa (DLP) yang dilaksanakan sejak 2016 menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan jumlah pelajar lulus mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun demi tahun.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, subjek Bahasa Melayu merekodkan peratusan lulus tertinggi dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini iaitu dari 2021 hingga 2023.
“Pencapaian calon (SPM) yang mengikuti kelas DLP menunjukkan peratus lulus cemerlang bagi mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu pada 2021, 97 peratus, 97.8 peratus bagi 2022 dan 97.9 peratus bagi 2023.
“(Ini diikuti) Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris turut menunjukkan peningkatan iaitu 96.8 peratus calon lulus pada 2021 dan 97 peratus masing-masing pada 2022 dan 2023,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Fadhlina berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pangkalan Chepa) yang bertanyakan mengenai keberkesanan DLP dan tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) susulan bantahan pelaksanaannya di beberapa sekolah.
Program DLP diperkenalkan di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Sains dan Matematik bermula 2016.
Fadhlina kemudiannya menambah, prestasi bagi subjek Sains dan Matematik turut melonjak.
“Bagi subjek Sains, 91.6 peratus yang lulus bagi 2021, 92.8 peratus pada 2022 dan 92.3 peratus untuk 2023.
“(Diikuti) mata pelajaran Matematik, sebanyak 91.4 peratus calon lulus pada 2021, 90.5 peratus (2022) dan 92.3 peratus (2023),” katanya.
Beliau kemudiannya menjelaskan, pihaknya sentiasa mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan sebarang masalah berkaitan pelaksanaan DLP.