Jenayah & Mahkamah

1MDB: Najib kesal, mohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia susulan pembongkaran skandal 1MDB yang berlaku semasa di bawah pengawasannya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

Menurut Najib, setiap hari beliau berasa amat terluka mengetahui bahawa segala kecurangan dalam 1MDB berlaku semasa di bawah pengawasannya.

“Saya tidak sedar bahawa PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya tidak langsung mengetahui bahawa saya telah menerima wang daripada dana yang telah dihantar oleh 1MDB kepada PetroSaudi.

“Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur mempercayai pada masa itu bahawa dana yang saya terima adalah merupakan sumbangan politik daripada kerajaan Arab Saudi.

“Sepertimana yang telah ditetapkan dalam prosiding mahkamah, memang terdapat dua sumbangan besar yang disahkan pada tahun 2010 diterima daripada kerajaan Arab Saudi. Sumbangan tersebut tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding jenayah atau sivil,” katanya dalam satu kenyataan media yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Nizar Najib hari ini.

Menurut Najib, dalam perbicaraan mahkamah baru-baru ini dan sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di mahkamah Switzerland dan artikel terkini yang diterbitkan oleh The Edge yang berdasarkan kepada analisa mereka terhadap kes tersebut serta e-mel dalaman PetroSaudi, sekali lagi membuktikan beliau bukan dalang dan tidak bersubahat dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB.

Katanya, rumusan daripada artikel yang diterbitkan oleh The Edge telah menyatakan bahawa PetroSaudi dan Jho Low bersubahat untuk memperdayakan saya.

Dalam pada itu, Najib menjelaskan, selepas berlakunya kebimbangan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan apa yang berlaku di 1MDB, beliau sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza.

“Saya telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan namun saya cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB.

“Apabila saya mula curiga tentang apa yang sebenarnya berlaku di 1MDB, kebimbangan utama saya adalah kepada usaha memulihkan kedudukan kewangannya dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik dan dua hala di peringkat tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Najib turut melahirkan rasa kesal dengan apa yang telah berlaku di SRC dan 1MDB.

Namun katanya, dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara yang tidak dimulakan atau mengetahui secara sedar, adalah tidak adil kepadanya.

“Saya telah pun dihukum dari segi politik walaupun dengan jelas saya bukanlah dalang kepada segala penyelewengan dalaman 1MDB dan tidak pernah sekalipun bersubahat dengan Jho Low.

“Justeru, saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang. Saya masih lagi terkejut dengan mendalam apabila mengetahui kini kepincangan, perbuatan yang tidak bermoral dan pelanggaran undang-undang yang telah berlaku di 1MDB,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button