Menteri Pertahanan hadir saksikan Eksesais Panah Jaguh Siri 2/2024
JOHOR BAHRU – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir menyaksikan Eksesais Panah Jaguh Siri 2/2024 di Lapang Sasar Bumi ke Udara (LSBU), Tanjung Logok, Kota Tinggi, di sini hari ini.
Beliau telah menyaksikan segmen simulasi serangan udara melibatkan aset-aset taktikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejurus diberikan taklimat pelaksanaan Eksesais oleh Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU), Brigedier Jeneral Azhar Mustapha.
“Eksesais itu merupakan latihan tembakan melibatkan pasukan-pasukan di bawah pemerintahan GAPU Tentera Darat Malaysia (TDM) yang berlangsung sejak 20 Oktober 2024 lalu melibatkan 82 orang pegawai dan 780 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP),” kata Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam hantaran di Facebook hari ini.
Selain tu, latihan tembakan Army Training and Evaluation Program (ARTEP) 31 RAD dan tembakan tahunan sistem persenjataan Artileri Pertahanan Udara (Arti PU) juga dipamerkan bagi menguji dan meningkatkan kemahiran anggota serta memastikan kesiapsiagaan operasi sistem persenjataan dalam pelbagai senario pertempuran.
Antara aset yang terlibat adalah Meriam 35mm Oerlikon dan Misil Starstreak serta aset lain seperti Gempita Varian 30 MM, ACV 300 Adnan 25 MM, G-Wagon Heavy Machine Gun (HMG) 12.7 MM, GK MK 1 Gatling Gun 7.62 MM, General Purpose Machine Gun (GPMG) 7.62 MM serta Sniper Barret 12.7 MM, KD Perkasa, Fast Combat Boat (FCB) 1101 dan Sukhoi SU-30MKM.
Turut hadir Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan; Ketua Setiausaha, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad serta pegawai kanan MINDEF dan ATM.