Komitmen kewangan besar sukarkan pemansuhan hutang PTPTN dilaksanakan
KUALA LUMPUR = Komitmen kewangan yang besar buat negara pada masa ini menyebabkan pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sukar dilaksanakan.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, pada masa sama, kerajaan juga perlu mengambil kira komitmen peminjam yang sudah membayar hutang berkenaan.
“Dalam keadaan sekarang ini, memang untuk kita hapuskan (hutang) agak sukar dengan komitmen kerajaan yang begitu besar dan kita juga kena fikirkan, bila kita mahu hapuskan yang belum membayar, kita kena fikirkan juga yang sudah membayar itu.
“Jadi maknanya, komitmen (bayaran) jika tidak silap dalam RM76 bilion yang sudah membayar, jadi kita perlukan dana ini untuk kita buat “rolling” bagi membiayai pendidikan pelajar selepas ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Mustapha berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) sama ada kementerian merancang untuk mengkaji semula keperluan pemansuhan hutang pinjaman PTPTN secara bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 seperti yang dijanjikan sebelum ini dan tindakan yang bakal diambil kepada peminjam yang gagal melunaskan tunggakan hutang.
Beliau kemudiannya menambah, kementerian dan PTPTN sedang bekerjasama rapat dengan Unit Pantau MADANI di bawah Kementerian Kewangan bagi mengkaji serta mencadangkan model pembiayaan baharu PTPTN yang lebih efisyen dan mampan untuk jangka masa panjang bagi pembiayaan pendidikan tinggi negara.