Bekas vokalis Nidji dilantik Timbalan Menteri Kebudayaan Indonesia
JAKARTA – Bekas vokalis kumpulan popular Indonesia, Nidji, Giring Ganesha Djumaryo dilantik sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan dalam Kabinet Merah Putih di bawah pemerintahan Presiden Prabowo Subianto.
Pelantikan Giring diumumkan Presiden Prabowo dalam satu majlis di Istana Merdeka, malam tadi.
Giring akan berkhidmat bersama Fadli Zon yang diumum sebagai Menteri Kebudayaan.
Sebelum terjun ke dunia politik, Giring yang terkenal sebagai vokalis Nidji, popular dengan lagu-lagu hits seperti ‘Hapus Aku’ dan ‘Laskar Pelangi’, yang menjadi lagu runut filem dengan judul yang sama pada tahun 2008.
Bagaimanapun, Giring membuat kejutan apabila memutuskan untuk meninggalkan kumpulan yang membawa namanya dikenali ramai pada tahun 2017 itu.
Ketika di kemuncaknya, kumpulan Nidji berjaya meraih pelbagai penghargaan termasuk Most Favourite New Artist di MTV Indonesia Awards 2006, Album Rock Terbaik di AMI Awards 2008 dan Karya Produksi Original Soundtrack Film Terbaik di AMI Awards 2014 serta banyak lagi.
Sementara itu, Presiden Prabowo mengumumkan pembentukan kabinetnya dengan menamakan 53 jawatan Menteri dan 56 Timbalan Menteri.
Jumlah itu meningkat sebanyak 19 Menteri dan 38 Timbalan Menteri berbanding pentadbiran di bawah Presiden Joko Widodo sebelum ini.
Anggota kabinet Prabowo juga menampilkan seramai 31 muka baharu, dengan 22 lagi dibawa dari kabinet Jokowi.
Antara yang mengekalkan jawatan termasuk Sri Mulyani Indrawati yang dikekalkan sebagai Menteri Kewangan.