Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Tiga ditahan kes acu pistol di medan selera

KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan semalam kerana disyaki mengacukan objek berbentuk pistol dalam pergaduhan di sebuah medan selera sekitar Puchong pada Ahad lalu.

Ketua Polis Serdang, AA Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan semalam dan dimaklumkan selepas kejadian itu tular di media sosial dalam satu video berdurasi 26 saat.

“Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 10 malam 13 Oktober lalu semasa mangsa berada di sebuah medan selera sekitar Puchong. Dia menegur suspek supaya tidak merokok di kawasan itu.

“Kemudian berlaku pertelingkahan antara mangsa dan lelaki terbabit, lalu suspek tiba-tiba mengacukan suatu objek menyerupai pistol ke arah perut pengadu,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, suspek kemudian beredar dari lokasi kejadian dan mangsa membuat laporan semalam demi keselamatan diri dan keluarganya.

Bertindak atas maklumat, beliau berkata, dua lelaki tempatan dan seorang wanita berstatus pemastautin tetap ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Katanya, seorang daripada suspek itu mempunyai satu rekod dadah dan dua lagi suspek tiada rekod lampau.

Polis turut merampas objek menyerupai sepucuk pistol berwarna hitam bersama satu kelopak dan dua butir peluru manik (bebola putih).

Show More

Related Articles

Back to top button