Berita Semasa

Op Global: Ibu bapa perlu bukti pertalian darah jika mahu tuntut anak

SERDANG – Ibu bapa kanak-kanak yang kini dalam perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) susulan Op Global perlu mengemukakan bukti pertalian darah bagi menuntut anak-anak mereka.

Laporan portal Sinar menyebut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri sebagai berkata, pihaknya mempunyai sebab untuk meragui kesahihan pertalian darah dalam beberapa tuntutan yang dibuat.

“Kalau betul-betul itu anak dia, biasanya ibu bapa itu mahu anak bersama dengan dengan mereka, but the thing is anak itu tidak bersama dengan ibu bapanya dan ini yang menjadi kesangsian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita pada Program Toleransi Sifar Keganasan @ Advokasi Anti Gangguan Seksual KPWKM 2024 di Universiti Tenaga Nasional, di sini hari ini.

Tambahnya, sebarang permohonan untuk memulangkan kanak-kanak terlibat ke pangkuan keluarga turut tertakluk kepada pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tiada unsur jenayah seksual atau kecederaan fizikal serta kelulusan mahkamah.

Tambah Nancy, setakat ini pihaknya menerima kira-kira 200 permohonan daripada ibu bapa untuk mendapatkan semula anak-anak mereka yang kini ditempatkan di beberapa tempat-tempat selamat.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 560 kanak-kanak iaitu 283 lelaki dan 277 perempuan sedang ditempatkan di tempat-tempat selamat.

Menurut KPWKM, JKM mendapat perintah jagaan sementara oleh Mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

KPWKM memaklumkan JKM telah terlibat dalam Op Global secara langsung bermula 11 September dengan seramai 884 pegawai JKM yang terdiri Pelindung, Pegawai Diberi Kuasa (PDBK) dan Pegawai Psikologi terlibat dalam operasi yang meliputi serbuan ke atas 83 premis di seluruh negara.

Show More

Related Articles

Back to top button