RUU tubuh Majlis Media Malaysia akan dibentang pada sesi Parlimen kali ini – Fahmi
KUALA LUMPUR – Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Rang Undang-Undang (RUU) yang dicadangkan akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat kali ini.
“Draf MMC telah dipersetujui bersama dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk semakan akhir sebelum penyediaan kertas Kabinet.
“Jika diluluskan, kami menjangka untuk membentangkan RUU tersebut dalam sidang Parlimen kali ini,” katanya.
Fahmi berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) di Dewan Rakyat, hari inin.
Untuk rekod, penubuhan majlis media ini pertama kali dicadangkan pada 2001, tetapi mengalami beberapa penangguhan.
Majlis ini bertujuan untuk menetapkan dan menguatkuasakan kod etika dalam pelaporan, meningkatkan standard kewartawanan, dan memastikan liputan media yang bertanggungjawab.
Ia juga berhasrat menjadi pemudahcara dialog antara profesional media, kerajaan, dan orang awam, sambil menyokong pertumbuhan profesional wartawan dan organisasi mereka.
Pada bulan Mac, ahli jawatankuasa sementara majlis telah bertemu dengan pegawai dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Parlimen untuk membincangkan penubuhannya.
Berikutnya menjelang Mei, Pejabat Peguam Negara telah merujuk RUU tersebut kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia untuk Analisis Impak Peraturan.
Sehingga Julai, permohonan keahlian pengasas termasuk 15 syarikat media, tujuh persatuan media, sembilan pengamal media individu, dan tujuh individu bukan media.
Ahli pengasas akan mewakili pelbagai sektor, termasuk organisasi bukan kerajaan (NGO), pengamal media, dan ahli akademik yang aktif dalam bidang media.
Fahmi kemudiannya menambah, draf RUU itu adalah hasil kerjasama antara jawatankuasa sementara majlis dan kementerian sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.
“Badan pengawal selia sendiri untuk pengamal media amat penting pada ketika ini bagi mengekalkan standard dan profesionalisme kewartawanan serta menyediakan saluran bagi orang awam membuat aduan terhadap media,” katanya lagi.