KBS beri amaran tarik balik geran projek naik taraf stadium negeri
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak teragak-agak untuk menarik balik peruntukan geran projek menaik taraf padang bola sepak di stadium utama negeri sekiranya pelaksanaan projek itu dilakukan tanpa mematuhi skop ditetapkan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, melalui peruntukan itu, pemilik fasiliti (stadium) diberi pilihan untuk melakukan satu atau dua kategori projek iaitu penukaran rumput padang atau menaik taraf sistem saliran padang atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun katanya, KBS dimaklumkan ada di antara penerima geran tersebut yang mahu menggunakan peruntukan tersebut untuk tujuan lain termasuk menaik taraf kemudahan tandas.
Sehubungan itu katanya, pihaknya akan berhubung dengan pemilik-pemilik fasiliti (stadium) dalam masa seminggu ini untuk mendapatkan pengesahan mengenai pematuhan skop kerja naik taraf yang telah dan akan dilaksanakan selepas peruntukan itu diberikan bermula Mac lalu.
“Kita minta mereka ambil serius. Kalau dah terima duit untuk menukar rumput, mereka kena tukar. Saya dengar ada yang tak mahu tukar sedangkan telah menerima peruntukan.
“Ada juga yang mahu menggunakan geran yang diterima itu untuk bina tandas. Perkara ini tidak akan dibenarkan,” katanya hari ini.
@malaysiatribune Dana naik taraf stadium : Hannah Yeoh beri amaran jangan ada yang terima geran tapi tidak guna mengikut skop peruntukan KBS #HannahYeoh #stadium #stadiumnasionalbukitjalil #snbj #cowgrass #padangrumputstadium #beritasukan #hannahyeoh
Hannah berkata demikian pada sidang media Status Pelaksanaan Projek Menaik Taraf Padang Bola Sepak di Stadium Utama Negeri petang tadi.
Beliau juga mengingatkan mana-mana penerima yang tidak menggunakan peruntukan untuk penukaran padang rumput baharu atau saliran padang perlu memulangkan semula geran itu kepada Kerajaan Persekutuan.
“Selain itu, kita juga akan melakukan audit untuk memastikan kos naik taraf yang dilakukan berpadanan dengan nilai geran diterima.
“Misalnya jika terima peruntukan RM300,000 mereka tidak boleh buat kerja yang RM100,000 dan gunakan selebihnya untuk tujuan lain,” katanya.
Hannah berkata, persetujuan geran itu diputuskan melalui Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Untuk Liga Malaysia 2024/2025 yang dipengerusikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tengku Mahkota Ismail pada 9 Januari lalu.
Katanya, kerajaan memperuntukan geran berjumlah RM7 juta bagi pelaksanaan projek menaik taraf semua saliran serta penanaman rumput padang di stadium utama negeri.
Tambah beliau, tawaran geran itu adalah untuk menambah baik dan meningkatkan kualiti selain memastikan kelancaran perlawanan bola sepak di negara ini.
Geran itu menawarkan peruntukan maksimum sebanyak RM500,000 merangkumi RM300,000 untuk projek naik taraf sistem saliran padang dan RM200,000 untuk penanaman rumput padang jenis Zeon Zoysia, Bermuda atau yang setara.
Hannah berkata, setakat ini KBS telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.6 juta kepada 10 buah negeri yang memohon inisiatif itu.
Katanya, daripada 10 negeri penerima, hanya Perlis dan Kedah menerima peruntukan RM300,000 kerana tidak mahu menukar rumput di stadium negeri.
Empat negeri yang tidak memohon peruntukan itu ialah Johor, Sabah dan Pulau Pinang manakala Sarawak memohon penangguhan kerana terlibat dengan SUKMA baru-baru ini.